Filed under: Uncategorized
Petang ni Abah bawa Achik, Aiman, Izzah dan kakak Abah ke rumah bapa saudara Abah di Pauh 9. Abah memanggilnya dengan gelaran Pakcik saja. Sesampainya di sana, kelihatan Pakcik berada di beranda rumahnya. Rupanya sedang memilih beras pulut. Untuk membuat ketupat yang sempurna, beras pulut dipilih sebegitu. Satu persatu diasingkan dari beras biasa. Rumit rupanya menghasilkan ketupat.Maka tak mustahillah, Abah dengar ketupat yang ditempah berharga RM 1.00 sebiji.

Izzah dan Achik sedang mengasingkan beras pulut dan beras biasa. Kena perhati betul-betul, pasal beras hampir sama.
Di depan rumah Pakcik, ada sepohon pokok yang agak besar. Sepemeluk juga batang pokok tersebut. Selama ini, Abah ingatkan pokok yang tidak ada apa-apa yang boleh digunakan. Rupa-rupanya pokok itu ialah pokok “setiyal”. Apabila kakak Abah menyuarakan ingin menjeruk beberapa biji buah “setiyal”, Pakcik segera mengambil galah dan menuju ke pokok tersebut.
Achik dan Aiman pun nampaknya teruja melihat Pakcik mengait buah “setiyal” itu. Mereka turut melonggokkan buah-buah “setiyal” dan membawa ke rumah Pakcik.
Bila Abah tanya, sama ada kenal buah “setiyal” itu, masing-masing menggeleng-gelengkan kepala. Begitulah anak-anak kita hari ini. Rasanya arus pemodenan menelan banyak hasil bumi kita. Tidak mustahil, satu hari nanti, kita tidak mengenali pokok kelapa, kerana kita hanya menggunakan santan yang sudah siap diproses.

Achik dan Aiman sedang mengutip buah-buah yang dikait oleh Pakcik.

Inilah dia....
Moga kita tidak akan melupakan hasil bumi bertuah ini.
Filed under: Uncategorized
“Masa kita kecik-kecik dulu kan, biasa kan kita buat pondok sendiri.Kalau kat kampung, kita ambik parang yang ayah kita tak sempat nak sembunyikan tu. Pastu, kita pegi la kat dalam hutan nu…. tebang 4 – 5 batang pohon yang sebesar lengan tu, kemudian bermulalah aktiviti menyiapkan pondok. Bangga bukan main lagi kita masa tu….. Pondok itu pun bukanlah pondok dalam erti kata sebenarnya. Ia hanyalah ruangan 4 persegi dengan batang-batang kayu yang kita ikatkan. Kemudian, kita ambil cangkul dan menggali lubang untuk menanam tiang pondok itu. Maka, siaplah sebuah pondok hasil peluh kita sendiri….”

Pondok segera.... menggantikan tradisi lama.....
Itu suatu masa dahulu. Hari ini bukan lagi masa itu. Hari ini tiada lagi pondok yang perlu menggunakan tenaga sendiri untuk menyiapkannya. Hari ini pondok-pondok segera mudah diperoleh di pasar raya. Lebih cantik dan ringan. Bahan-bahannya hanyalah sehelai penutup yang sudah dibentuk dan tiangnya daripada bilah-bilah plastik. Ringannya, hinggakan anak seumur 1 tahun mampu mengangkat pondok ini. Cantiknya pondok ini, kerana dipenuhi warna-warna ceria. Menarik perhatian anak-anak kecil.
Inilah kemajuan yang semakin mara ke hadapan. Namun, seperkara yang tidak dapat kita nafikan, sebagaimana mudahnya membina pondok ini, begitulah mudahnya hilang aura dalam diri anak-anak kecil untuk bertahan lama dengan pondok moden ini. Mereka tiada peranan sebenarnya dalam pembinaan pondok tersebut. Apa pun, kita perlu akui, tradisi makin hilang ditelan arus kemodenan. Di sebalik itu, bukankah ini juga nikmat yang perlu kita syukuri?
Filed under: Uncategorized
Tiba-tiba teringatkan ayah di kampung. Baru je sebenarnya balik, tapi, mendadak ingatan terhadap ayah muncul. Teringat banyak cerita-cerita yang diperkatakan ayah ketika kami berbual-bual. Bagaimana Abah dan ayah ke pulau di seberang sana mengambil perahu berenjin untuk dibawa pulang ke kampung. Tika itu rasanya Abah berada di Tingkatan 5. Itu peristiwa lebih 22 tahun yang lalu. Hanya Abah dan ayah yang menaiki perahu kecil itu. Dan yang menjadikan pengalaman Abah begitu tinggi nilainya bagi Abah ialah, apabila ayah membenarkan Abah yang mengemudikan perahu tersebut. Kami sama-sama merentasi ombak laut yang beralun tinggi rendah itu, hinggalah tiba di pantai Kemasin. Kemudiannya Abah mengemudikan lagi sampailah ke tambatan di kuala Sg Pengkalan Petah. Ayah meletakkan perahunya di depan Masjid Tawang. Dan kemudiannya, hari-hari selepas itu, Abah dan ayah akan menggunakan perahu tersebut untuk menahan pukat di sekitar sungai. Petangnya, kami akan menaikkan pukat, dan setiap hari akan ada rezeki kurniaan Allah kepada kami. Ikan yang pelbagai jenis, juga ketam yang rasanya tidak akan dibeli jika tidak ada dalam pukat kami.
Namun, semua kenangan itu hadir tanpa mampu Abah ulangi lagi. Kemodenan merubah perkampungan kami. Sungai tempat Abah dan ayah menahan pukat dan ‘bitol’ ketam sesungguhnya masih berada di tempat asalnya. Apa yang tiada ialah suasana yang Abah alami dahulu. Tiada lagi pohon-pohon ‘gurah’ tempat ayah meneduhkan perahunya. Tiada lagi kocakan air yang beralun tenang memudiki selut tempat Abah menghambat anak-anak ‘tembakul’. Juga tidak akan dijumpai lagi anak-anak ‘tembakul’ berenang di tebing sungai itu. Sungai Tawang telah pun moden kini. Di kualanya kini didirikan jeti untuk perahu-perahu besar memunggahkan isinya selepas berharian di laut lepas.
Setiap kali Abah melalui jalan menyelusuri Sungai kenangan itu, hati Abah akan teringat kembali mahis pahit Abah dahulu. Kenangan yang tidak akan menjengah semula dalam penghidupan kita….
Filed under: Uncategorized
“Dr. Faiz nak datang ke sekolah kita?”
“Betul ke?”
“Bila?”
Pertanyaan di atas bermain-main di benak setiap pelajar SMK SIS sejak beberapa hari lalu. Memang benar. Angkasawan negara, Mejar Dr. Faiz akan datang ke SMK SIS. Semuanya teruja untuk bertemu tokoh negara itu. Dan pada hari Rabu, 05.08.09 Dr. Faiz berada di bumi SMK SIS. Atur cara begitu padat, dan hanya berakhir menjelang 1.00 tengah hari. Di Dewan Besar, semua terpegun dan mendengar dengan teliti setiap tutur kata yang diucapkan oleh Dr. Faiz.
Berikut, antara beberapa situasi yang berlaku….

Tiba di SMK SIS

Bersama Pengetua .....

Persembahan silat mengalu-alukan Dr. Faiz. Antara pesilat yang bertanding di peringkat tinggi....

Masih melihat persembahan pelajar.

Pasukan kompang turut membuat persembahan.

Mula bergerak ke Dewan Besar SIS

Memberi ceramah dan motivasi kepada pelajar. "MEMBACA MENEROBOS ANGKASA"

Sebilangan kecil daripada lebih 2000 pelajar yang teruja dengan kehadiran Angkasawan Negara.

Sesi bergambar.... Belum bersedia lagi.... Baru ambil tempat duduk....

1....2....3..... Terima kasih Dr. Faiz....
Filed under: Uncategorized
Semalam hari akhir Kejohanan Bola Sepak Sekolah-Sekolah Primier Zon Timur yang berlangsung di SMK Dato’ Mahmud, Besut. SMK Sultan Ibrahim 1 mewakili negeri Kelantan selaku juara Negeri Kelantan. Sebuah lagi ialah pasukan Maktab Sultan Ismail. Keputusan seperti berikut :
SMK Sultan Ibrahim 1 0-4 SMK Sultan Sulaiman
SMK Sultan Ibrahim 1 4-1 Maktab Sultan Ismail
SMK Sultan Ibrahim 1 2-0 SMK Dato’ Mahmud
Kejohanan ini dimenangi oleh SMK Sultan Sulaiman menerusi kelebihan jaringan berbanding pasukan SMK Sultan Ibrahim 1. Apa pun, tahniah kepada pemain-pemain SMK SIS yang mempamerkan semangat juang yang begitu tinggi.
Filed under: Uncategorized
1) Ketika ini Abah teringatkan peristiwa beberapa tahun lepas. Tak silap, ianya berlaku pada tahun 1994. Abah menaiki motorsikal dan ingin ke Mulong. Berhampiran stesyen minyak di Tunjung, Abah ingin memotong sebuah bas. Dengan sedaya mungkin, Abah memotong bas tersebut. Tapi, sebaik sahaja motorsikal betul-betul berada di sebelah pemandu, motorsikal Abah terhenti mendadak. Terkejut Abah, dan selepas diperiksa, rupa-rupanya minyak dalam tangki sudah kekeringan. Syukur yang tidak terhingga, kerana kalau lah Abah berada di hadapan bas itu…….
2) Pada 08 Februari yg lalu, kemalangan yang benar2 menimpa Abah dan Angah. Masih terasa kesannya hingga ke hari ini. Bila Abah fikirkan balik, semuanya telah ditentukanNya. Kebiasaannya Abah akan mengambil Angah di sekolahnya (MML) menggunakan kereta. Entah mengapa, hati Abah tidak keruan, sekejap ambil kunci kereta, tapi akhirnya Abah ambil pula kunci motorsikal dan menjemput Angah. Apa yg berlaku begitu pantas sekali, dan ianya berlaku berhampiran USM sendiri. Sebuah lori kecil yang Abah rasa dipandu laju menggesel dan mengheret motorsikal Abah beberapa meter. Angah terus terhumban ke jalan raya, manakala Abah bersama-sama motorsikal itu. Sekali lagi, Alhamdulillah, penuh kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi, kerana masih memberi peluang Abah menghirup udara.

Masih ada kesan parut hingga kini..
3) Beberapa hari lepas, di bandar Pasir Mas, Abah mengikuti kenderaan di hadapan yg agak perlahan hari itu. Tiba-tiba kereta di hadapan Abah berhenti mengejut, Abah pun turut berhenti. Rupa-rupanya utk mengelak seekor anak kucing. Apabila kereta di hadapan Abah berlalu, anak kucing itu sudah tidak kelihatan. Abah memikirkan untuk meneruskan perjalanan, tetapi hati mendesak Abah supaya memikirkan tentang anak kucing tersebut. Abah mengambil keputusan memberhentikan kereta dan turun ke jalan raya. Rupa-rupanya anak kucing berada betul-betul di hadapan tayar belakang kereta Abah. Andaikan Abah meneruskan perjalanan tadi, sudah pasti ia akan berakhir di situ. Abah mengambil anak kucing itu dan meletakkannya di tempat yang selamat. Kenderaan yang panjang di belakang terpinga-pinga, mungkin memikirkan kecemasan apa yang berlaku hinggakan Abah terhendap-hendap ke bawah kereta tadi. Apabila Abah tunjukkan anak kucing di tangan, mereka mengangguk-angguknya kepala. Tiada seorang pun yang membunyikan hon kenderaan mereka. Terima kasih semua.
Kejadian inilah yang mengimbau semula kenangan Abah di atas. Anak kucing itu masih bernyawa lagi……
Filed under: Uncategorized
Hari ini ialah Isra dan Mikraj. Kisah bagaimana junjungan kesayangan kita diperjalankan oleh Allah s.w.t. dari Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin, dan kemudiannya ke Sidratul Muntaha. Kisah bagaimana junjungan kekasih kita dibelah dadanya dan dibasuh dengan air yang suci, iaitu air zam-zam. Mengenai air zam-zam ini, semasa berceramah tentang Isra Mikraj di SMK Sultan Ibrahim 1, Mudir Maahad Muhammadi (L) En. Zainuddin b. Ismail menceritakan sebuah kisah benar tentang bagaimana seorang wanita yang menghidap penyakit berbahaya dan diberikan tempoh 6 bulan untuk menghabiskan sisa-sisa hidupnya. Apa yang menariknya, beliau akhirnya telah sembuh. Apa yang dilakukannya ialah mengamalkan meminum air zam-zam dan beribadat di Makkah. Ianya telah menghairankan pakar-pakar yang mengesahkan bahawa wanita berkenaan didapati tiada sebarang tanda penyakit tersebut. Suatu keajaiban bagi mereka. Namun, bukan untuk Allah yang Maha Berkuasa.
Akhirnya, seperkara yang berkaitan peristiwa Isra Mikraj ini ialah perintah Allah yang mewajibkan kita menunaikan sembahyang sebanyak 5 waktu sehari semalam. Kepentingan solat ini amat ditegaskan oleh Nabi s.a.w. Bahkan juga kepentingan solat berjemaah. Mazhab Hambali mewajibkan solat berjemaah, manakala Mazhab Syafie meletakkannya sebagai sunat yang amat dituntut. Bukankah ada hadis Nabi s.a.w. tentang bagaimana baginda memberitahu sahabat-sahabatnya supaya menyediakan kayu api untuk membekar rumah orang yang tidak menunaikan solat berjemaah tanpa sebarang keuzuran? Dengan segala kemurahan Ilahi, mungkinkah kita tidak mengendahkan perintahNya itu? Jika begitu, ke manakah akhirnya perjalanan kita kelak? Renungkanlah….
Filed under: Uncategorized
Dalam kereta tadi, Abah tertarik dengan info oleh Abg Him, dari Radio Malaysia Kelantan FM tentang pengutip derma. Beliau meminta kita berhati-hati, khuatir derma yang kita berikan itu sebenarnya merupakan suatu sindiket mengutip derma. Bahkan, beliau melihat sendiri di Bachok, bagaimana pengutip-pengutip derma ini berkeliaran menagih simpati dari para pengunjung yang berada di situ. Sudah lumrah, bila dikaitkan dengan derma, kita akan “mati akal”. Paling-paling tidak, RM 1.00 akan dihulurkan. Menurut Abg Him, beliau melihat sendiri pengutip-pengutip derma ini berkumpul di sebuah kereta pada penghujung senja itu dan membahagi-bahagikan hasil kutipan sesama mereka dengan penuh kegembiraan. Jadi, jelaslah bahawa, mereka merupakan sekumpulan pengutip derma “profesional” yang tugas mereka mencari wang dari kita yang dermawan ini. Jadi, berhati-hati. Bukan mustahil cop kebenaran mengutip derma itu pun dipalsukan.
Itu menurut pengalaman Abg Him. Pengalaman Abah pula hampir-hampir sama. Bahkan, Abah rasa, orang ramai biasa melihat suasana begini. Abah pernah melihat sendiri seseorang menghantar dan menyediakan tempat duduk untuk pengutip derma ini, sama ada di pasar-pasar malam, mahupun di bandar Kota Bharu sendiri. Tanpa buruk sangka kepada mereka, marilah kita fikirkan apa yang berada di hadapan kita ini.
Seperkara lagi yang ingin dikongsikan berkenaan berkenaan anak-anak kecil dari Bangladesh (rasanya) yang seminggu dua ini sentiasa berada di persimpangan lampu isyarat Lundang. Telah dua kali dalam seminggu ini Abah terserempak dengan anak-anak kecil ini. Apabila kenderaan berhenti menunggu lampu isyarat bertukar hijau, anak-anak kecil ini akan segera menuju ke kereta dan mengetuk cermin pemandu, kemudian ditunjukkan pelekat yang mengandungi ayat-ayat al-Quran. Kalau kita menggelengkan kepala, mereka akan segera beredar ke kenderaan lain. Namun, apa yang Abah nak perkatakan di sini ialah, siapa yang mengeksploit anak-anak kecil berbangsa asing ini? Takkan mereka akan berada di persimpangan tersebut sepanjang masa tanpa adanya “towkey” yang mengendalikan mereka. Dahulu kita biasa menemui keadaan ini di stesyen bas Kota Bharu, sekarang fenomena ini muncul kembali.
Mari kita sama-sama renungkan…..
Filed under: Uncategorized
Hari ini kursus haji tambahan masih berlangsung di Masjid Kubang Bemban. Ustaz Ibrahim masih dengan suara lantangnya dan kali ini Ustaz “mengulangkaji” semula apa yang dah dipelajari sebelum ini. Bakal jemaah masih ramai memenuhi ruangan solat di Masjid ini, dan masing-masing bersemangat mendengar pengajaran dari Ustaz. Mulanya, Ustaz menanyakan apakah tujuan jemaah ke Madinah? Sebagai kesimpulan, setiap jemaah perlulah menanamkan keazaman untuk bersolat 40 waktu di Masjid Nabawi, di samping melakukan ziarah. Sesungguhnya, solat 40 waktu dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam dapat mengelakkan sifat munafik dalam jiwa kita. Melalui ziarah pula, kita akan dapat membiasakan diri dengan masjid, di samping melaksanakan pelbagai ibadah di sana.
Seterusnya, jemaah perlulah memilih dengan teliti apakah bentuk ibadah Haji yang ingin dilaksanakan kelak. Allah memberikan tiga bentuk ibadah Haji, iaitu Tamattuk, Ifrad dan Qiran. Maka, perlulah dikaji dan difahami dengan penuh ketelitian, agar mendapat haji yang mabrur.
Moga kita akan mendapat jemputanNya. InsyaAllah.
Filed under: Uncategorized
Pada 23 Jun lalu, surat dari TH untuk Abah dan Ummi menjalani pemeriksaan kesihatan tiba. Tarikh yang dinyatakan ialah pada hari ini, dan mengikut jadualnya bermula pukul 8.00 pagi.
Jadi, Abah dan Ummi ambil ketetapan bahawa kami nak mengikut jadual yang dinyatakan dalam surat tersebut. Pukul 8.00 pagi Abah dan Ummi sudah berada di Klinik Kesihatan Bandar Pasir Mas. Bila Abah serahkan buku Rekod Kesihatan kepada petugas di sana, rupa-rupanya ada bakal jemaah lain yang tiba lebih awal lagi. Abah dapat giliran no. 4 dan Ummi pula no 5. Selesai bahagian timbangan, ukuran tinggi dan tekanan darah, Abah dan Ummi ke bahagian makmal untuk pemeriksaan darah. Di sini tidak mengambil masa yang lama. Kemudiannya ke kaunter pendaftaran untuk berjumpa dengan doktor. Alhamdulillah, Abah dan Ummi tiada sebarang masalah dan kemudiannya diarahkan untuk mengambil suntikan di bahagian rawatan. Keseluruhannya, pemeriksaan Abah dan Ummi mengambil masa kira-kira 3 jam. Terima kasih kepada semua yang terlibat di Klinik Bandar Pasir Mas. Layanan yang amat memuaskan dan tutur kata yang menyejukkan hati. Sekali lagi, terima kasih….
Selesainya pemeriksaan kesihatan, bermakna satu bahagian daripada perjalanan Abah dan Ummi telahpun selesai. Doa dan harapan Abah dan Ummi : moga Allah permudahkan dan menyampaikan kami ke sana.